Wednesday, May 20, 2009

Cara membuat baja kompos anda sendiri

Kenapa perlu buat baja kompos sendiri?

Dengan membuat baja kompos sendiri, anda dapat berjimat belanja daripada membeli baja di kedai. Di samping itu anda menfaatkan bahan buangan yang selama ini anda buang dan mempercepatkan proses penuraiannya, daripada menjadi timbunan sampah di pusat penimbunan bahan buangan. Ia juga satu langkah positif seiringan program kitar semula di mana sampah-sarap diasingkan mengikut nilainya -sama ada boleh di kitar semula (kertas, plastik dan kaca), boleh dijadikan hasil organik (baja kompos) atau tidak boleh diguna semula (sampah-sampah lain). Ini secara tidak langsung mewujudkan kesedaran pentingnya menghargai bumi dari menjadikannya pusat penimbunan sampah untuk generasi yang akan datang.



Apa yang perlu anda beri perhatian.

Tidak semua bahan buangan boleh dijadikan bahan untuk kompos. Bahan yang biasa digunakan adalah sisa buah-buahan dan sayuran, kulit telur, rumput atau pokok liar menjalar yang dicabut, daun-daun pokok, serdak kopi yang telah ditapis, uncang teh, jerami dan yang berkaitan.

Antara bahan buangan yang perlu dielakkan:

- Rumput atau rumpai yang terkena racun rumpai

- Tumbuhan beracun seperti Poison Ivy

- Najis binatang peliharaan atau ternakan kerana ia mengandungi pathogen dan sukar diuraikan

- Tulang kerana ia tidah boleh diuraikan

- Semua jenis daging termasuk ikan dan ayam

- Susu, keju dan hasil tenusu yang lain


Jika dibuat dengan skala yang agak besar, bahan-bahan buangan yang sedang diuraikan akan mengeluarkan gas dan bau yang agak kurang menyenangkan. Jika boleh, jauhkan daripada ia menjadi gangguan kepada orang lain. Sudut laman atau belakang rumah yang terhindar dari orang lain atau jiran adalah sesuai. Anda juga boleh letakkan sisa-sia buangan organik dibahagian bawah dan tutupkan dengan rumput, rumpai dan daun kering agar baunya terkawal.

Untuk mengelakkan dari menjadi tumpuan binatang liar termasuk tikus dan serangga, binakan jaring yang diikat sekeliling empat pancang kayu. Buatkan pintu agar mudah anda membuka untuk mengeluarkan atau menambah bahan kepada kompos tadi. Disamping itu ia mengelakkan rupa timbunan yang kurang menyenangkan pada mata umum.

Anda perlu mewujudkan proses pengagihan sampah di rumah dengan lebih sistematik. Contohnya elakkan membuang sampah di satu tempat yang sama dan mengasingkannya kemudian. Sebaik-baiknya asingkan bahan-bahan buangan yang boleh dibuat kompos dari yang tidak (di samping kertas, plastik dan kaca jika anda prihatin dengan program kitar semula)

Kompos memerlukan masa untuk cacing dan organisma lain untuk membantu proses penguraian sisa buangan dan menghasilkan nutrien dan baja untuk tanaman. Tambahkan sisa buangan baru mengikut lapisan demi lapisan yang ditutup dengan rumput, rumpai dan daun kering untuk memberi masa penguraian di lapisan bawah. Timbunan kompos memerlukan peredaran udara dan kelembapan yang sesuai, jadi anda perlu menyodoknya dari masa ke semasa dan melembabkannya pada cuaca panas, tetapi jangan sampai terlalu basah. Kompos anda telah siap bila warnya bertukar menjadi tanah bergumpal hitam ). Untuk mengasingkan baja kompos dari bahan yang masih belum sempurna terurai, anda boleh tapiskan dengan jaring halus.

Sumber: Associated Content

2 comments:

  1. tahi lembu
    bagaimana ia bolih dijadikan baja?

    ReplyDelete
  2. saya ada menternak lebih 100 ekor lembu....bagaimana saya nak proses supaya tahi lembu bolih dibuat baja?

    ReplyDelete